Thursday, August 12, 2010

KEPENTINGAN SEJARAH KEPADA MANUSIA

Sejarah sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan walaupun sesetengah masyarakat awam berpendapat sejarah itu hanyalah rangkaian kisah lalu dan tidak perlu diungkit lagi. Malah menurut mereka iaitu masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai disiplin ilmu sejarah ini, belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak mempelajarinya bukanlah satu kesalahan. Pandangan ini sememangnya tidak benar bagi golongan intelek sejarah kerana menurut mereka sejarah itu merupakan peristiwa masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan; kita dapat merasakan bahawa sesuatu peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan sebahagian daripada peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan menunjang menjadi sebahagian daripada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Sejarah dikatakan penting bagi meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat terutamanya masyarakat intelek yang beria-ia untuk mendalami kepelbagaian disiplin ilmu pengetahuan seterusnya merakamkannya sama ada dalam bentuk bercetak, audio mahupun visual. Rakaman atau pendokumentasian ini akan disebarluaskan ke segenap lapisan masyarakat. Kita sebagai manusia seharusnya mengetahui akan diri kita dan mengetahui keupayaan diri kita sendiri. Hal ini dapat kita ketahui melalui sejarah. Menurut pendefinisian sejarah oleh Carr, menunjukkan bahawa sejarah berfungsi untuk menyimpan dan meneruskan pengalaman-pengalaman secara kolektif dari satu generasi ke satu generasi berikutnya dan dengan itu berlakunya proses pembudayaan, sosialisasi dan pendidikan secara terus-menerus. Sejarah penting dalam meningkatkan pengetahuan ini dapat kita sorotkan dalam Tuhfat Al-Nafis yang menerangkan perihal kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Tulisan ini menceritakan asal-usul, peperangan, pemerintahan dan segala macam mengenai kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Jadi melalui pembacaan dan pengkajian yang lebih mendalam tentang tulisan ini iaitu Tuhfat Al-Nafis, pembaca dan pengkaji akan sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan mengenai kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Tuhfat Al-Nafis hanya merupakan salah satu contoh dalam memperkenalkan kepentingan sejarah sebagai pemangkin dalam meningkatkan ilmu pengetahuan.

Bibliografi
Baker Jim, 1999, Crossroads:A Popular History Malaysia Singapore, Kuala Lumpur:
Times Books International.

Barbara Watson Andaya & Leornard Y. Andaya,1983, Sejarah Malaysia, Petaling
Jaya:Macmillan Publisher Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment