Thursday, August 12, 2010

Perang Saudara di Kelang 1867- 1873.

Kejayaan dan keuntungan yang diperolehi dari usaha Raja Abdullah yang memajukan perlombongan bijih timah di lembah Klang telah mencelikkan mata Raja Mahadi. Raja Mahadi kemudiannya menuntut hak beliau ke atas lembah Klang yang dikatakan sepatutnya diwarisi daripada ayahanda beliau. Raja Sulaiman. Tuntutan itu ditolak oleh sultan Abdul Samad. Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan sebarang kekecohan, Raja Abdullah bersetuju membayar wang sagu hati setiap bulan kepada Raja Mahadi. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya ketidakpuasan hati Raja Mahadi dan sekaligus untuk mengelakkan daripada tercetusnya rampasan kuasa oleh Raja Mahadi. Namun begitu, Raja Mahadi tetap tidak berpuas hati dengan pemberian tersebut. Beliau berpendapat sebagai anak bekas pemerintah Kelang dan cucu kepada bekas sultan, beliau sepatutnya menerima sekurang-kurannya setengah daripada hasil pendapatan daerah Kelang sebagai pencen. Raja Mahadi telah mengemukakan hasratnya kepada sultan Abdul Samad, tetapi baginda menolak tuntutan tersebut, sebaliknya menyuruh Raja Abdullah untuk menghentikan bayaran tersebut.

Dalam tahun 1866, Raja Abdullah telah melantik W.H. Reed dan Bab Tan Kun Cheng iaitu saudagar dari Singapura untuk menjadi pemungut cukai rasmi di daerah Kelang dan di seluruh kawasan di bawah kekuasaan Raja Abdullah iaitu Klang. Menurut adat, anak-anak raja dibebaskan dari membayar cukai. Adat kebiasaan ini telah dihapuskan. Raja Mahadi membawa barang-barang dagangan untuk dijual kepada pelombong-pelombong cina di kawasan Kuala Lumpur. Ia berpegang kepada adat kebiasaan dan enggan membayar cukai. Pada ketika itu, di bahagian pantai laut negeri Selangor, terutamanya di kuala-kulala sungai didiami oleh orang melayu dan berketurunan Bugis. Raja Abdullah di Kelang, Sultan Abdul Samad di Langat dan putera baginda Raja Musa di Kuala Selangor merupakan antara raja dan pembesar melayu yang berketurunan Bugis. Sementara di beberapa kawasan seperti di Kuala Lumpur, Ampang dan Cheras kebanyakkan adalah daripada orang sumatera, iaitu mendiling, Rawa, dan Batu Bara yang berhijrah ke Selangor untuk berniaga dan mencari bijih timah. Hubungan Bugis dan orang sumatera memang sudah renggang pada abad ke-18 lagi kerana untuk menyelebelahi raja masing-masing dalam merebut kuasa kerajaan di Johor. Ketua orang Bugis itu ialah Sila Watang dan Wak Sigalah manakala ketua Sumatera ialah Enche’ Nonggok.

Dalam pada itu Raja Mahadi telah mengambil kesempatan untuk mendapatkan bantuan daripada orang-orang sumatera untuk menentang Raja Abdullah di Klang. Dengan bantuan orang-orang sumatera, Raja Mahadi menyerang kubu Raja Abdullah di Kelang. Dalam serangannya ke atas Bandar kelang dalam tahun 1866, Raja Mahadi telah berjaya mengusir Raja Abdullah yang terpaksa melarikan diri ke Melaka. Kemuncak Pertelingkahan di antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah itu, pembesar-pembesar dengan serta mertanya terpecah kepada dua puak. Pada mulanya, Sultan Abdul Samad mengecualikan diri daripada pertelingkahan ini.

Tidak lama setelah berkuasa di Kelang, timbul perbalahan antara Raja Mahadi dengan Sultan Abdul Samad akibat daripada tindakan beliau menghentikan bayaran bulanan yang dijanjikan. Tindakan Raja Mahadi telah menimbulkan kemurkaan Sultan Abdul Samad dan baginda bertindak untuk memutuskan pertunagan puterinya Raja Arfah dengan Raja Mahadi. Baginda kemudiannya telah mengahwinkan puterinya dengan Sultan Kedah ( Sultan Ahmad Dhiauddin Mukarram Shah) yang bernama Tengku Dhiauddin, biasanya disebut sebagai Tengku Kudin. Tahun 1868, baginda telah mengurniakan Tengku Kudin sebagai wakil daerah Langat kepada beliau.Tindakan Sultan Abdul Samad melantik Tengku Dhiauddin yang merupakan bukan kerabat di raja selangor kerana pada masa ini, kerana pada masa ini kerabat Diraja Selangor pada masa itu saling bertelingkah antara satu sama lain. Dengan itu juga, Sultan Abdul Samad berharap agar pelantikan Tengku Dhiauddin sekaligus dapat menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapai di Selangor. Tindakan Sultan Abdul Samad ini adalah bertujuan supaya keadilan dapat diwujudkan dikalangan kerabat Di raja Selangor yang masa itu sedang bertelagah di antara satu sama lain.

Pelantikan Tenku Kudin telah dibantah oleh golongan kerabat diraja yang lain, seperti Raja Musa, Raja Kahar dan Raja Yaakub serta Raja Mahadi. Mereka menggangap Tengku Kudin itu sebagai “ Orang Luar” yang campur tangan dalam hal ehwal dalam pentadbiran negeri Selangor. Raja Abdullah mangkat dan dimakamkan di Ketapang, Melaka.Secara senyap di waktu subuh, Raja Ismail dan angkatannya menyerang kubu Raja Mahadi di Kuala Kelang. Pada tahun 1869, kubu Raja Mahadi elah dibedil di seberang Sungai. Orang Rawa menyerahkan kubu kepada Raja Ismail atas sebab Raja Mahadi telah mungkir janji untuk memberinya kuasa di Kelang. Raja Ismail mengepung Raja Mahadi. Akibatnya, Raja Ismail telah berjaya menduduki Klang dan tinggal di Kota dan memajukan Klang, bina jalan, perusahaan bijih timah dan perniagaan dengan negeri-negeri Selat. Sultan Abdul Samad menyerahkan Kelang kepada Tengku Kudin. Sebab berlakunya penyerahan kerana Sultan Abdul Samad tidak mampu lagi untuk menangkis perbalahan yang berlaku perbalahan dalam negeri.
Sementara itu, pengusiran Raja Mahadi dari Kelang tidaklah mengakhiri peperangan di sana. Putera-putera Raja Abdullah terus menentang Raja Mahadi bagi pihak ayahanda mereka. Pada mulanya Tengku Kudin telah menawarkan dirinya sebagai orang tengah tetapi telah di tolak oleh Raja Mahadi. Tengku Kudin kemudiannya bergabung dengan Raja Ismail untuk menentang Raja Mahadi dan perang saudara meletus di Selangor. Pada Oktober 1868, Tengku Kudin tiba di Selangor membawa 500 orang askar dari kedah. Separuh dari askar-askar itu dihantar ke daerah Kuala Langat dan sebahagian lagi digerakkan ke Kelang. Tengku Kudin tidak terus menyerang , sebaliknya secara perlahan-lahan menyekat kemasukan barang-barang terutamnya barangan makanan ke Klang.Tengku Kudin melakukan sedemikian supaya kelang menghadapi masalah kekurangan makanan yang akan menyebabkan pentadbiran Raja Mahadi di kelang akan lemah. Di samping itu, Tengku Kudin juga menyekat perdagangan bijih timah antara Klang dengan kawasan darat di Selangor. Tujuan Tengku Kudin melakukan sedemikian supaya sumber perlombongan cina di Kelang akan berada dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan menyebabkan pelombong-pelombong cina akan menyokong kepada Tengku Kudin.
Perang Saudara ini bertambah-tambah buruk disebabkan dalam masa yang sama tercetus kekacauan antara pelombong-pelombong cina di Kuala Lumpur. Pada Ogos 1868, Ah sze iaitu sahabat baik Yap Ah Loy telah mati dibunuh oleh Chong Chong iaitu bekas ketua cina di Lukut dan melarikan diri ke Rawang. Pada Tahun 1869 Yap Ah Loy yang sebelum ini telah menjalinkan hubungan dengan Raja Mahadi telah berpaling tadah dan menyokong Tengku Kudin. Tujuannya adalah untuk mendapatkan sumber ekonomi bijih timah di klang. Perang Saudara ini, telah merebak ke daerah-daearah lain sekitar Kelang yang kemudiannya melibatkan pelombong-pelombong cina. Puak Hai san di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Yap Ah Loy telah memberi sokongan kepada Tengku Kudin, manakala puak Ghee Hin di Kanching bersatu dengan Raja Mahadi. Pada 4 Julai 1871, sebuah kapal perang british “Rinaldo” telah menggempur Kuala Selangor dengan alasan hendak memburu lanun-lanun cina. Akibatnya angkatan perang british telah diserang dengan hebat oleh hulubalang-hulubalang Raja Mahadi.
Pada akhir Julai 1871, J.W.W Birch iaitu setiausaha jajahan negeri-negeri Selat membawa pasukan tentera untuk mempengaruhi Sultan Abdul Samad di Jugra. Malangnya hal ini telah ditolak oleh Sultan Abdul Samad. Menimbangkan kedudukan Sultan Abdul Samad yang kian lemah, maka telah mempersetujui untuk melantik Tengku Kudin sebagai “Wakil Yam Tuan” Selangor serta bersetuju majlis Diraja yang akan mentadbir seluruh negeri. Dengan bantuan pembesar-pembesar Melayu, Raja Mahadi menawan Kota Kuala Selangor, Kota Klang dan kawasan strategik sepanjang Sungai Klang tetapi kerajaan Inggeris merampas segala kelengkapan Raja Mahadi di Bengkalis. Pada tahun 1872, Tengku Kudin bersama askar-askar yang diketuai oleh Van Hagen dan Cavaliero menyerang kubu Raja Asal, pihak Raja Mahadi di Petaling Batu tetapi mengalami kekalahan teruk. Dalam perjalanan Van Hagen, Cavaliero dan askarnya ke Klang, mereka diserang Raja Mahdi dan Cavaliero terbunuh. Van Hagen pula disembelih di Khalayak ramai. Kedua-dua kepala mayat Van Hagen dan Cavaliero diarak beramai-ramai di Kuala Lumpur, kemudian dipakukan di pintu gerbang Raja Mahdi. November 1973 Pahang telah menghantar askarnya Ke Kuala Selangor yang merupakan kubu terakhir Raja Mahadi di Selangor. Sementara itu, Yap Ah Loy telah mengumpulkan orang-orangnya telah bergabung dengan Tengku Kudin telah menyerang Raja Mahadi yang mula bertapak di Kuala Lumpur. Akhirnya Kuala Lumpur telah ditawan kembali oleh angkatan gabungan Tengku Kudin- Yap Ah Loy. Perang saudara di Selangor telah melumpuhkan sama sekali kegiatan-kegiatan ekonomi dan perdagangan di negeri itu. Dengan penawanan kembali Kuala Lumpur oleh angkatan gabungan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy maka berakhirnya. perang saudara di Selangor yang memakan masa lapan tahun.

RUJUKAN

Buyong Adil. Sejarah Selangor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia. 1971. hlm 64.

Barbara Watson Andaya and Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia. Macmillan Asian Histories series.1982. hlm 147.

No comments:

Post a Comment